Wednesday, July 05, 2006

Kelebihan tongkat ali, kacip fatimah.......

Kelebihan tongkat ali, kacip fatimah dan pegagaTIGA jenis herba, TONGKAT ALI atau nama saintifiknya Eurycoma longifolia, KACIP FATIMAH (Labisa pumila) dan PEGAGA (Centella asiatica) merupakan spesies ubatan yang selama ini cuma digunakan dalam perubatan tradisional.
Ketiga-tiganya telah digunakan sejak turun-temurun sebagai penawar pelbagai jenis penyakit di samping untuk penjagaan kesihatan harian.Berikutan industri herba yang semakin berkembang, ketiga-tiga pokok berkenaan juga menjadi bahan asas makanan kesihatan yang melibatkan perniagaan berbilion ringgit.
Tongkat ali merupakan spesies dari keluarga Simaroubaceae dan turut dikenali sebagai PENAWAR PAHIT, BEDARA PAHIT, TONGKAT BAGINDA, PASAK BUMI dan SETUNJANG BUMI.Timbalan Pengarah Bahagian Tumbuhan Ubatan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr. Rasadah Mat Ali berkata, seperti diketahui ramai, pati rebusan akar tongkat ali boleh memberi kekuatan tenaga batin, khususnya kepada lelaki.Katanya, ia juga digunakan untuk merawat demam yang berulang dan sebagai tonik terutama bagi ibu-ibu lepas bersalin."Selain itu, ekstrak akarnya mempunyai kesan antimalaria, air rendaman atau jus kulit akar boleh digunakan untuk demam, cirit-birit dan pembengkakan.""Pati rebusan akarnya dipercayai boleh mengurangkan sakit-sakit tulang sementara pati rebusan daunnya digunakan untuk merawat kegatalan di badan," katanya.
Menurut Dr. Rasadah, kacip fatimah dari keluarga Myrsinaceae juga dikenali sebagai SELUSUH FATIMAH, RUMPUT SITI FATIMAH, AKAR FATIMAH, POKOK PINGGANG, TADAH MATAHARI dan BUNGA BELANGKAS HUTAN."Pati rebusannya bukan saja digunakan untuk wanita selepas bersalin malah boleh mempercepat proses melahirkan anak.""Ia berkesan sebagai penawar sakit angin dalam perut, disentri, masalah ketika haid dan penyakit kelamin," jelasnya.
Pegaga pula dikenali sebagai PENGGAGA, PEGAGA TEKUKUR, DAUN KAKI KUDA (Jawa), GAGAN-GAGAN (Sunda) dan ANTANAN (Siam)."Dengan memakan pegaga sama ada sebagai ulam atau dimakan begitu saja, ia boleh mengubati keloid, skleroderma, lupus, selulitis, dan leprosi (kusta).""Jika dimakan dalam jumlah kecil ia boleh menambah selera, membantu penghadaman dan mengatasi masalah usus kanak-kanak manakala jusnya sebagai tonik menyejukkan badan, merawat ulser, sifilis dan kelenjar limfa,'' jelas Dr. Rasadah.Sementara itu, FRIM akan mengadakan Seminar Tumbuhan Ubatan 2002 bertemakan Tongkat Ali, Kacip Fatimah dan Pegaga: Dimensi Baru Penjagaan Kesihatan Komplimentari pada 20 dan 21 Ogos ini.
Seminar itu akan mengetengahkan penemuan-penemuan saintifik dari pelbagai pihak dan institusi yang akan dibincangkan oleh para peserta.Sesiapa yang berminat boleh menghubungi pengerusi jawatankuasa seminar, Dr. Mohd. Ilham Adenan menerusi telefon 03-62797000.Sementara itu, Laboratori Fitoubatan, Institut Biosains Universiti Putra Malaysia (UPM) juga akan mengadakan beberapa siri Bengkel Herba Ubatan Malaysia 2002 berikutan kejayaan siri pertama yang berakhir Jumaat lalu.Melalui bengkel itu, peserta didedahkan kepada kaedah pengurusan tanaman herba yang betul dan menjalani proses kultur tisu atau pengklonan.Sesiapa yang berminat boleh menghubungi Fellow Laboratori Fitoubatan, Profesor Dr. Maziah Mahmood menerusi telefon 03-89466703.** Credit : UtusanOnline - RAMLI ABDUL KARIM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home