Wednesday, July 05, 2006

Menagawal Masalah Pigmentasi

Petua Kesihatan Oleh DR. AMRAN AHMAD
SEMENJAK kebelakangan ini permintaan terhadap produk kecantikan yang menjanjikan kulit yang cerah dan bersih tanpa masalah pigmentasi semakin meningkat.Walaupun begitu, oleh kerana maklumat mendalam mengenai pigmentasi sukar diperoleh, kebanyakan para pengguna memilih rawatan atau produk yang terlalu mahal, bahaya atau tidak berkesan.
Kulit merupakan lapisan yang melindungi struktur anatomi badan dan organ dalaman. Tetapi untuk kebanyakan lelaki dan wanita, kulit adalah simbol kecantikan seseorang. Kulit yang licin dan bersih melambangkan kulit yang sihat manakala kulit yang bertompok-tompok gelap melambangkan sebaliknya.Melainkan jerawat, masalah pigmentasi adalah antara masalah kulit utama yang merunsingkan kebanyakan orang.
Apakah pigmentasi?
Pernahkah anda bertanya pada diri sendiri mengapa manusia mempunyai warna kulit yang berbeza-beza?Sebab utama perbezaan ini adalah kerana kewujudan melanin yang dihasilkan oleh sel pigmen yang dipanggil melanocytes. Sel-sel ini terletak di lapisan basal epidermis, iaitu lapisan teratas permukaan kulit.Warna kulit seseorang bergantung kepada jumlah dan taburan melanin kulit. Ini bermakna semakin banyak jumlah melanin, semakin gelap warna kulit seseorang.Selain menentukan warna kulit seseorang, melanin juga didapati bertindak sebagai pelindung kulit daripada radiasi ultralembayung, mengurangkan kesan terbakar matahari, mengurangkan risiko kanser kulit dan juga mengawal pengeluaran vitamin D yang berlebihan.
Pengeluaran melanin pula bergantung kepada aktiviti pemangkin suatu enzim yang dipanggil tyrosinase.Terdapat dua jenis pigmen melanin yang boleh dihasilkan oleh manusia, jenis yang berwarna coklat atau pheomelanin dan yang berwarna perang kemerahan yang dikenali sebagai eumelanin.Keabnormalan pigmentasi.
Secara amnya, terdapat dua jenis masalah atau keabnormalan pigmentasi iaitu hiperpigmentasi dan hipopigmentasi.
a. Hiperpigmentasi
Hiperpigmentasi berlaku apabila melanin dihasilkan secara berlebihan. Ini mungkin disebabkan faktor genetik, perubahan hormon, kehamilan, penggunaan pil perancang keluarga dan juga kesan sampingan pengambilan ubat-ubatan.Aktiviti berjemur atau suntanning juga boleh menyebabkan hiperpigmentasi. Masalah ini boleh timbul dalam pelbagai bentuk seperti freckles dan melasma di kalangan orang dewasa atau tanda kelahiran (cafe au lait spots) dan tompok biru (Mongolian spots) pada kanak-kanak.
b. Hipopigmentasi
Hipopigmentasi berlaku disebabkan kekurangan jumlah pigmen pada kulit. Masalah ini akan timbul dalam bentuk kebalaran atau albinism di mana kulit tidak boleh menghasilkan melanin.Vitiligo pula terjadi sewaktu kehilangan pigmen tanpa apa-apa sebab yang ketara atau penyakit. Hipopigmentasi juga boleh disebabkan oleh kecederaan, ubat dan bahan kimia.RawatanTerdapat pelbagai jenis rawatan untuk masalah pigmentasi. Rawatan akan bergantung kepada tahap masalah yang dihadapi.
Masalah pigmentasi yang ringan boleh dirawat dengan produk yang boleh dibeli di kedai atau farmasi, manakala masalah yang lebih serius memerlukan rawatan seorang pakar kulit.Rawatan untuk hiperpigmentasi boleh dirawat dengan kaedah kosmetik (seperti chemical peeling), rawatan laser dan pembedahan ringan, contohnya pemindahan kulit sihat kepada bahagian yang bermasalah.Masalah hipopigmentasi seperti vitiligo pula boleh dirawat dengan menggunakan steroid, oral dan topical photo chemotherapy dan juga ubat-ubatan yang membantu mengawal sistem imun atau ketahanan badan. Kaedah pemindahan sel pigmen juga boleh membantu.
Peringatan penting
Segera berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan sekiranya anda mengalami keadaan seperti berikut:-
Kawasan warna kulit abnormal berubah saiz, bentuk atau warna- Masalah pigmentasi berterusan atau tidak berkurangan walaupun setelah mendapat rawatan- Masalah pigmentasi mengganggu keupayaan fizikal.
Dapatkan panduan daripada doktor atau ahli farmasi yang berdekatan mengenai penggunaan produk untuk merawat masalah pigmentasi anda.
** Credit : UtusanOnline

0 Comments:

Post a Comment

<< Home